Assalamualaikum & Selamat Hari Raya!
Last post 1 Mac, lamanya tak main blog ni. dah berkarat dah nak main coding coding, nak tengok tutorial, banyak blog yang dah tutup, blog blog yang selalu aku ziarah dulu banyak dah takde haih sedihnya hahaha. anyway, selamat hari raya semua, harini dah 4 syawal, puasa sunat enam hari jangan lupa! Tadi aku ada baca satu artikel ni tentang Ainul Mardhiah.. kita semua tahu siapa itu Ainul Mardhiah kan? btw, artikel ni aku baca dekat
sini. So aku nak kongsikan sikit dari artikel tu.
Siapakah Ainul Mardhiah?
Ainul Mardhiah dari segi bahasa bermaksud mata yang diredhai yakni bererti setiap pandangan yang melihatnya pasti akan menemukan keredhaan di hati. SubhanAllah dari segi maksud pun dah sejuk kan baca.. Diceritakan Ainul Mardhiah ini bidadari paling cantik dan sedang menantikan suaminya di syurga iaitu para solihin di dunia. Ainul Mardhiah adalah seorang bidadari yang paling cantik di surga yang Allah ciptakan untuk sesiapa yang mati syahid berjuang di jalan Allah [
sumber]. Aku sebenarnya takut nak berkongsi bab bab agama ni sebab takut sumber tak sahih, unless aku betul yakin sahih baru confident nak share.
Usaha untuk ke syurga
Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan, semua kita berimpian mahu masuk ke syurga. Namun kita selalu terfikir, “layakkah aku?”.
Sedangkan jauh di sudut hati, kita amat takutkan azab api neraka. Insya-Allah dengan rahmat-Nya, pasti kita akan dapat masuk ke syurga. Sambil itu teruskan berbuat yang Allah suruh dan meninggalkan yang dilarang serta jangan berhenti untuk berdoa dan meminta yang terbaik untuk diri, ahli keluarga dan semua orang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Impian takkan dapat jika sekadar menjadi mimpi. Antara usaha yang dilakukan untuk terus istiqamah dalam menjadi hamba-Nya yang taat selain
memelihara ibadah dan hubungan dengan Allah adalah
menjaga juga hubungan dengan manusia dan makhluk lain.
Suka saya nak tekankan bahawa penulis artikel ini menyatakan supaya kita menjaga hubungan dengan manusia dan juga makhluk lain. Makhluk lain yang dimaksudkan itu termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga alam sekeliling kita. Bermaksud di sini, sungguh kita tak suka kucing ke arnab ke, janganlah sampai memaki hamun binatang tersebut. Sungguh tak suka lalang lalang yang tinggi tumbuh tu, janganlah dicaci, buang elok elok. Tak perlu pun kata kata kesat ni kan kan kan.
Bagaimana jika seseorang perempuan mahu masuk ke syurga?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat akan suaminya, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (Riwayat Ahmad)
Jelas di sini untuk memperoleh syurga Allah, seorang wanita itu harus menjaga ibadahnya dan taat pada suaminya (selagi perkara tersebut tidak bertentangan dengan ajaran islam). Ada harinya mungkin kita penat, rasa marah ataupun sedih, namun dengan istighfar dan bersederhana serta memperbaiki amalan, insya-Allah kita akan lebih tenang dan dipermudahkan. Yakinlah, dalam setiap ujian, pasti akan ada jalan.
Okay jadi secara ringkasnya, antara perkara utama yang perlu para wanita amalkan dan ingat untuk menjadi seorang yang solehah dan insyaAllah mendapat ganjaran syurga ialah;
- Solat lima waktu
- Berpuasa di bulan Ramadan
- Memelihara maruah
- Taat akan suami
Wallahua'lam. Siapa kita untuk tentukan pahala dosa orang, syurga neraka orang kan? :)
Dan lelaki yang bagaimana akan masuk ke syurga?
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar,
dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa,
dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab: ayat 35)
Secara ringkasnya, ayat ini bermaksud, jika seseorang (lelaki dan perempuan) itu bertingkah sedemikian, insyaAllah akan mendapat ganjaran yang besar yakni keampunan serta syurga.
- Islam
- Beriman
- Taat
- Benar
- Sabar
- Merendah diri kepada Allah
- Suka bersedekah
- Berpuasa
- Memelihara kehormatannya
- Banyak menyebut nama Allah
Sebagai khalifah (pemimpin) di atas muka bumi ini, tanggungjawab lelaki bukanlah kecil, namun berbekalkan sifat amanah, ikhlas dan taat kepada Allah, pastinya banyak perkara yang dapat dicapai sama ada kejayaan di dunia mahupun di akhirat sana. Jadi buatlah perkara yang disukai Allah.
Ayuh kawan
Tiada apa yang mustahil jika Allah sudah berkehendakkan. Kita masuk ke syurga pun atas rahmat Dia. Jadi janganlah putus asa. Tidak ada sebab untuk kita berhenti berharap. Namun, usaha dan doa haruslah seiring. Jika kita sedar kita ada kekurangan, jangan takut untuk terus membuat penambahbaikan. Kemaafan Tuhan tidak sama dengan kemaafan insan. Jadi jangan risau jika dosa sebesar lautan, Dia tetap akan ampunkan. Namun risaulah jika kita tidak mendapat hidayah untuk berdoa dan berusaha menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah.
Untuk lelaki, teruslah berjuang menjadi pahlawan menuju ke syurga Allah. Dan untuk semua wanita, selamat berjuang dalam usaha menjadi Ainul Mardhiah! Insya-Allah. Jom terus berbuat kebaikan!
“Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a: Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : Bilakah kiamat itu tiba? Rasulullah bersabda: Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu. Lelaki itu menjawab: Cinta Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah menjawab: Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 4775)
Sebab itu pentingnya untuk ada sahabat yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah, pentingnya ada sahabat yang akan bersama sama berjuang dengan kita untuk mendapatkan syurga Allah. masih mencari huhuhu.
Harap bermanfaat. Selamat hari raya aidilfitri! Mohon maaf andai ada salah silap :)
.fad